NIBONG TEBAL 31 Julai – Kehadiran tonto sering mengganggu operasi yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini termasuk sepanjang Operasi Lebih Muatan ke atas lori dan treler yang bermula 10 Julai lalu.
Namun, perkara itu tidak menghalang pasukan penguat kuasa JPJ negeri apabila sebanyak 895 saman dikeluarkan ke atas pemandu lori terutama jenis tipper dumper yang menyalah guna kelulusan tambah dinding.
Pengarahnya, Mohamat Johari Mat Nor berkata, lori tipper dumper itu diberikan kelulusan menambah dinding untuk membawa barangan pertanian seperti kelapa sawit dan beras, namun digunakan untuk mengangkut bahan pembinaan seperti batu, pasir dan tanah.
Selain itu, menurutnya, operasi terbabit juga memberi tumpuan ke atas lori kargo atau treler dan kenderaan perdagangan lain yang membawa lebih muatan.
“Kita menyedari kehadiran tonto yang cuba menggagalkan operasi yang dibuat, namun tiada sebarang tindakan agresif yang dilakukan mereka.
“Sepanjang operasi yang bermula 10 Julai lalu sehingga semalam, sebanyak 957 kenderaan barangan diperiksa dan 446 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Valdor, dekat sini hari ini.
Katanya, antara kesalahan dikesan adalah membawa lebih muatan sebanyak 282 kes, muatan berbahaya (36 kes), aspek teknikal seperti tayar haus serta menambah pagar (211 kes) dan tiada lesen memandu (35 kes).
Selain itu, terdapat juga pemandu dikesan memandu dengan lesen tamat tempoh (26 kes), tiada lesen Vokasional Kenderaan Perdagangan (36 kes) serta kesalahan-kesalahan lain sebanyak 269 kes.
“Daripada 895 kesalahan yang dilakukan itu, 322 adalah lori tipper dumper manakala 573 kesalahan dilakukan lori kargo atau treler dan kenderaan perdagangan lain.
“Kita memberi amaran kepada pemilik syarikat supaya meneliti latar belakang pemandu mereka serta memastikan mereka memiliki lesen memandu sah,” katanya.










