KUALA LUMPUR 9 Ogos – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak sepatutnya mengulangi kenyataan mengenai kekurangan yang kononnya terdapat dalam sistem pertahanan negara secara terbuka.
Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM), Sani Osman berkata, kenyataan menteri itu seolah-olah cubaan membongkar apa sahaja kekurangan negara atas dasar dendam politik.
“Saya percaya selepas kenyataan seperti itu dikeluarkan, beliau sendiri tidak akan dapat meningkatkan pertahanan negara kerana soal pertahanan diletakkan di belakang berbanding isu-isu lain.
“Pemimpin dunia lain melihat soal keamanan dunia tetapi kita fikir keperluan pertahanan tidak sebegitu penting berbanding keperluan-keperluan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Mohamad mengenai kedudukan pertahanan negara pada ketika ini berada di tempat paling bawah dalam kalangan negara Asia Tenggara seperti Vietnam yang mana memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Beliau menerangkan situasi itu berbeza dengan kedudukan Malaysia yang berada di tangga teratas pada 1970-an.
Sani berkata, tidak dinafikan negara agak jauh ketinggalan daripada aspek pemilikan aset-aset ketenteraan berbanding Vietnam yang pada tahun lalu sahaja sanggup berbelanja untuk pertahanan dan ketenteraan sehingga RM24.4 bilion.
“Sejak 2005 lagi negara tersebut berusaha menaikkan kedudukan pertahanan sejajar dengan perkembangan teknologi pembuatan peralatan perang. Berbanding Malaysia kebanyakan menggunakan peralatan yang masih jauh ketinggalan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, walaupun begitu, ATM dipandang lebih siaga terutama dalam menghadapi ancaman semasa yang lebih mirip kepada bukan konvensional.
“Kita tidak dapat nafikan kenyataan menteri berkenaan, namun ia mewujudkan betapa pentingnya kerajaan memberi tumpuan utama kepada kesiagaan alat tempur ATM yang diselenggara dengan rapi.
“Ini juga telah menimbulkan satu kesedaran dalam kalangan rakyat jelata dan pentadbir keselamatan negara supaya lebih memberi fokus terhadap keselamatan negara,” ujarnya.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan disaran menukar atau melakukan transformasi prosedur pembelian alat ganti kritikal daripada pengeluar asal peralatan atau alat ganti supaya tidak tinggi daripada harga asal.
“Ini supaya peruntukan tahunan perbelanjaan mengurus dapat dimanfaatkan sepenuhnya secara kos yang lebih efektif.
“Saya turut mencadangkan supaya kementerian mengadaptasi sistem harga cost plus di mana kenaikan harga oleh ejen atau orang tengah tidak akan berlaku,” katanya.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji pula berkata, pendedahan Mohamad sememangnya boleh menjejaskan terutama imej negara, namun tiada pilihan dan terpaksa menerima hakikat serta kebenarannya.
“Jadikannya satu pengetahuan dan pengajaran yang mana semua pihak kini perlu bekerja keras bagi memperbaiki berbanding menutup kelemahan.
“Jika tidak, kita mengulangi keadaan seperti dahulu yang mana akibat tidak tahu, maka selama ini rupa-rupanya kita menyimpan banyak kelemahan dan kekurangan dalam sistem pertahanan negara,” katanya.










