Tiada urusan tidak boleh masuk - KPD Sentul - Utusan Malaysia

Tiada urusan tidak boleh masuk – KPD Sentul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Polis menafikan pihaknya hanya menghalang penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, pihaknya menerima arahan daripada mahkamah supaya tidak membenarkan individu yang tidak mempunyai urusan untuk memasuki kawasan kompleks untuk tujuan keselamatan.

“Dakwaan mengatakan kami hanya menghalang penyokong pihak tertentu adalah tidak benar, kami hanya menjalankan tugas yang diarahkan kepada kami.

“Sebelum ini berlaku kekecohan dalam kawasan mahkamah dan kita tidak mahu perkara itu berulang, jadi semua yang tidak mempunyai urusan tidak perlu berada dalam  kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam  mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menghalang kemasukan orang awam ke perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang tiba di hadapan pintu pagar kompleks berkenaan kira-kira pukul 9 pagi berkata, orang awam yang tiba sejak pukul 7 pagi untuk memberi sokongan moral kepada Najib dihalang masuk.

Najib sebentar tadi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebelum beliau mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh Hakim Azura Alwi berikutan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pengakuan akan direkodkan di mahkamah tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN