TURIN 1 Ogos – Juventus masih beleum menemui kata putus untuk melepaskan penyerang Gonzalo Higuain kepada AC Milan, kata pengurus besar kelab itu, Giuseppe Marotta.
Penyerang berusia 30 tahun itu dikhabarkan bakal menyertai Rossoneri sebagai pemain pinjaman dengan nilai 18 juta Euro (RM85.14 juta) dengan pilihan perpindahan secara tetap pada harga 36 jura Euro (RM170.28 juta).
Pegawai Juventus dan Milan dipercayai sudah mengadakan pertemuan untuk membincangkan perjanjian itu secara khusus selain perbincangan mengenai perpindahan Leonardo Bonucci dan Mattia Caldara.
Bagaimanapun, Marotta mendakwa kedua-dua pihak masih belum menemui sebarang keputusan.
Ketika ditanya mengenai perjanjian itu dan masa depan Higuain, dia memberitahu: “Tidak banyak yang boleh diperkatakan.”
Higuain membantu Juventus merangkul kejuaraan domestik untuk dua tahun berturut-turut selepas menyertai Old Lady daripada Napoli pada harga 90 juta Euro (RM425.51 juta).
Kehadiran Cristiano Ronaldo pada harga 112 juta Euro (RM529.88 juta) membuatkan Higuaian berhasrat untuk meneruskan cabaran di tempat lain.-AGENSI










