KUALA LUMPUR 8 Ogos – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu diingatkan supaya mula bekerja kerana tempoh ‘bulan madu’ beliau bersama kementerian tersebut telah tamat.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, sudah tiba masanya untuk beliau mengkritik Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu termasuk memberi pandangan untuk kelangsungan kementerian tersebut.
Katanya, barisan pembangkang dan seluruh masyarakat akan melihat bagaimana Kementerian Pertahanan menjalankan tugas terhadap kawalan keselamatan negara, selepas 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sebelum ini saya nak tengok dan lihat, saya tidak mahu membuat banyak sangat komen supaya beliau diberi ruang untuk belajar dan melihat sendiri keadaan Kementerian Pertahanan.
“Tetapi tempoh bulan madu dah tamat sekarang dan kini saya nak pandangan saya didengari pula,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE











