KUALA LUMPUR 9 Ogos – Kementerian Kewangan diminta meneliti semula tatacara perolehan tender projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang ketika ini diberikan kepada syarikat MRCB-George Kent (MRCB-GK).
![]() |
|
|
Hal demikian ini kerana, menurut Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, MRCB-GK sebelum ini memenangi tender projek tersebut bukan sebagai kontraktor, sebaliknya sebagai rakan pelaksana projek (PDP).
Kata beliau, sekiranya ia diteruskan, penganugerahan tersebut menjadi seolah-olah sebuah tender rundingan terus yang sekali gus membelakangkan prinsip kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu semua projek dibuat secara tender terbuka.
“Sekiranya Kementerian Kewangan mahu melantik MRCB-GK sebagai kontraktor dengan menetapkan harga RM16 bilion, maka tender sebagai PDP wajar ditamatkan terlebih dahulu dan tender terbuka yang baharu sebagai kontraktor perlu dibuat.
“MRCB-GK memenangi tender terbuka dengan menawarkan bidaan sebanyak RM9 bilion sebagai PDP pada 2015 dengan spesifikasi kerja yang telah ditetapkan. Memandangkan enam stesen telah ditangguhkan pembinaannya, manakala stesen yang dikekalkan dikurangkan spesifikasinya serta tren menjadi tiga gerabak sahaja, Kementerian Kewangan wajib melaksanakan proses perolehan yang baharu bagi membuktikan ketelusan dan berlaku adil kepada pemain industri yang turut menyertai tender sewaktu itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE












