KOTA BHARU 9 Ogos – Jabatan Perdana Menteri sedang melakukan siasatan dalaman semua agensi di bawah kendaliannya bagi mengesan sebarang penyelewengan termasuk kes lama melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya tidak akan menutup mata terhadap sebarang salah laku, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
“Sekarang semua fail agensi ada bersama saya, kita akan tengok apa masalah-masalah yang pernah timbul.
“Kalau saya tahu ada dalam kalangan kepimpinan terdahulu berlaku pelbagai perkara (salah laku), saya tidak akan diamkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama rakyat anjuran Pertubuhan Prihatin Rakyat Kelantan (Prikel) di sini malam tadi.
Yapeim merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan Ar-Rahnu, iaitu perkhidmatan skim pajakan emas mengikut syariat Islam yang mempunyai cawangan di seluruh negara.
Pada 2015, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendakwa berlaku pelbagai pembaziran dalam Yapeim termasuk penyalahgunaan dan penyelewengan terhadap dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji).
Mengulas mengenai kes sejumlah RM7.43 juta daripada RM7.6 juta perbelanjaan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang didakwa beliau gagal dikesan, Mujahid berkata, perkara itu masih di peringkat siasatan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.
“Kita akan serahkan kes ini kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya. – UTUSAN ONLINE











