Suspek kes bunuh penjawat awam wanita direman tujuh hari - Utusan Malaysia

Suspek kes bunuh penjawat awam wanita direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU – Suspek kes bunuh seorang penjawat awam wanita di sebuah rumah sewa di Jalan Tiong Hua pada Khamis lalu direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 Ogos depan bagi siasatan lanjut.

Perintah tahanan reman ke atas suspek, Philip Uja, 42, dikeluarkan oleh Majistret Saiful Sayoti di Wad 15 di Hospital Sibu di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, proses permohonan reman dilakukan di Hospital Sibu disebabkan suspek masih menjalani rawatan selepas meminum racun dipercayai untuk membunuh diri ketika ditahan di sebuah rumah panjang di Julau semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, permohonan reman terhadap suspek itu dibuat oleh Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Sylvarius Gopog, manakala suspek diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chieng Lee Seng.

“Buat masa ini suspek masih mendapat rawatan lanjut di Hospital Sibu dan keadaannya beransur pulih.

“Kita percaya dengan penahanan suspek ini akan membantu polis menyelesaikan siasatan kes bunuh ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang pemandu lori yang disyaki terlibat dalam kes bunuh itu  berjaya ditahan di sebuah rumah panjang di Julau, semalam.

Suspek berkenaan telah diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Julau kira-kira pukul 10.40 pagi.

Semasa tangkapan tersebut, suspek telah meminum racun di dalam sebuah tandas di rumah panjang tersebut dipercayai untuk membunuh diri.

Suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan kecemasan. 

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×