JOHOR BAHRU 9 Ogos – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan memantau prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.
Titah Sultan Johor, baginda akan memberikan nasihat serta pandangan kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan kerajaan pimpinannya.
“Sebagai raja yang memerintah, saya juga memegang amanah dan bertanggunjawab terhadap kepentingan negeri Johor dan rakyatnya, Bangsa Johor,” titahnya.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini sebentar tadi.
Sultan Ibrahim bertitah, perkara utama yang ditekankannya adalah tentang pengurusan kewangan negeri yang cekap dan berhemah.
“Saya suka ingatkan supaya kerajaan mengawal perbelanjaan agar tidak melebihi hasil pendapatan yang diterima.
“Kerajaan mestilah berusaha untuk mencapai lebihan hasil atau surplus supaya mempunyai rizab simpanan untuk masa depan,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah, Kerajaan negeri juga perlu berusaha untuk mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan beban kewangan negeri.
Sultan Johor juga mahu kerajaan negeri mengekalkan prestasi kemajuan ekonomi yang tinggi dengan menggalakkan pelaburan berterusan dari dalam dan luar negara.- UTUSAN ONLINE











