KUALA TERENGGANU 8 Ogos – Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berjaya menepati sasaran 10 pingat emas dalam Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2018 di Melaka yang berakhir kelmarin.
Kontinjen dengan 82 atlet yang diterajui Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abnihajar turut melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali dinobatkan juara keseluruhan bagi acara ping pong dengan jumlah pungutan dua emas dan satu gangsa.
Rozizah yang juga Ketua Balai JBPM Kuala Terengganu berkata, kesemua 10 pingat emas itu turut diperoleh menerusi acara badminton, olahraga, boling, Mr. Wonderful dan golf.
“Penyertaan kali ini merupakan pencapaian terbaik terutama dalam acara balapan, dan kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dengan komitmen tinggi atlet kita,” katanya, di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sehingga meletakkan JBPM Terengganu di tangga keenam berbanding kedudukan kelapan dalam Sukbom 2016 di Negeri Sembilan.
Sukbom 2018 berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) dengan kontinjen ibu pejabat muncul juara keseluruhan menerusi kutipan 22 emas. Kejohanan dwitahunan akan datang dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 2020. – UTUSAN ONLINE











