Suami isteri dihadapkan ke mahkamah tipu pakej umrah - Utusan Malaysia

Suami isteri dihadapkan ke mahkamah tipu pakej umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH 2 Ogos – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan iaitu masing-masing menipu dan bersuhabat dalam menawarkan pakej umrah melibatkan kerugian sebanyak RM53,224 pada Mei hingga Julai tahun lalu.

Tertuduh, Ishak Abu Hassan, 40, dan Elmirushuda Amerudi, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di depan Penolong Kanan Pendaftar, Tei Pei Si.

Berdasarkan pertuduhan, Ishak dan isterinya didakwa melakukan semua perbuatan tersebut pada Mei hingga Julai 2017 di Balai Raya Felda Lakum dan Sekolah Agama Rakyat Felda Lakum, Lanchang di sini.

Ishak dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Isterinya pula didakwa di bawah Seskyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen sama.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor M. Sutaka manakala tertuduh diwakili peguam, M. Varunchelvam.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini bagi sebutan semula kes. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN