SPRM tahan pegawai polis Pulau Pinang - Utusan Malaysia

SPRM tahan pegawai polis Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 8 Ogos – Seorang pegawai polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Perda, Bukit Mertajam semalam kerana disyaki menerima suapan bernilai RM15,000.

Sumber memaklumkan, suspek yang berusia 39 tahun dan berpangkat Asisten Superitenden, ditahan di Jalan Perda Selatan, Bandar Perda kira-kira pukul 4.30 petang oleh para pegawai dan anggota dari SPRM Kedah.

“Suspek merupakan pegawai penyiasat satu kes berkaitan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) yang mana empat individu ditahan pada 31 Julai lalu dengan pihak polis berjaya menyelamatkan kira-kira 22 mangsa warganegara Indonesia.

“Empat suspek tersebut kemudiannya diberi jaminan polis pada 2 ogos lalu. Susulan daripada itu, pegawai polis berkenaan dipercayai cuba meminta suapan untuk menyelesaikan kes terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sumber itu memaklumkan, SPRM turut merampas wang suapan bernilai RM15,000 yang dipercayai digunakan untuk merasuah pegawai tersebut.

Dia kemudiannya dibawa ke Pejabat SPRM di sini untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai polis terbabit.

“Pegawai polis itu direman selama empat hari bermula hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima suapan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN