KUALA LUMPUR 1 Ogos – Pasangan mahupun individu daripada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan kumpulan majoriti yang hadir ke hospital untuk mendapatkan ubat antiretroviral yang membantu mengawal penularan virus tersebut dalam tubuh pesakit.
Senario itu didedahkan oleh kakitangan hospital kerajaan yang berhadapan situasi tersebut setiap hari kerana peningkatan jumlah pesakit daripada golongan itu semakin bertambah dan membimbangkan.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari golongan tersebut datang untuk mengambil ubat, mereka (transgender) ini tidak sukar untuk dikenal pasti kerana daripada segi perwatakan, nama di kad pengenalan berbeza dengan muka sebenar dan sebagainya.
“Sebagai petugas, perkara itu amat membimbangkan kerana saban hari jumlah mereka semakin bertambah, daripada ubat yang diambil iaitu antiretroviral, kita sudah tahu bahawa mereka adalah penghidap HIV,” jelasnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas beliau, kebiasaannya, ubat tersebut diambil untuk bekalan bagi tempoh sebulan hingga tiga bulan berpandukan preskripsi doktor yang diberikan secara percuma di hospital kerajaan kepada pesakit.
“Ini bermakna jumlah mereka amat besar berdasarkan kekerapan mereka yang datang mengambil ubat,” ujarnya.
Sumber turut menjelaskan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah penghidap HIV daripada golongan LGBT yang hadir ke hospital bersama pasangan ataupun bersendirian semakin meningkat.
“Jika dahulu kami dapat saksikan ada di antara ibu pesakit yang datang mengambil ubat meluahkan perasaan mengenai perihal anak-anak mereka yang menghidap HIV malu dengan kami sebagai petugas yang mengetahui ubat yang diambil adalah untuk HIV.
“Kini keadaan berubah, bahkan ada di antara mereka yang tidak segan silu berkelakuan kurang sopan (berpelukan) semasa menunggu giliran mengambil ubat seakan kami petugas tidak tahu bahawa mereka mengambil ubat antiretroviral,” katanya.
Sumber turut menyuarakan kebimbangannya berikutan terdapat pelbagai desakan daripada penyokong golongan seperti itu untuk memperjuangkan kebebasan dan hak mereka yang secara tidak langsung akan memburukkan lagi keadaan khususnya untuk menampung keperluan perubatan golongan itu.
“Diharapkan semua pihak mengambil perhatian perkara tersebut kerana semakin hari ia semakin membimbangkan seolah-olah tiada kesedaran daripada pihak mereka ataupun badan-badan yang dipertanggungjawabkan,” katanya.










