Selatan Perancis dilanda banjir - Utusan Malaysia

Selatan Perancis dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARSEILLE 10 Ogos – Lebih 1,600 orang, kebanyakannya kumpulan perkhemahan terpaksa dipindahkan ekoran banjir besar yang melanda selatan Perancis, lapor pegawai penyelamat.

Kawasan paling teruk terjejas adalah rantau Gard, Ardeche dan Drome di mana lebih 400 anggota bomba serta pasukan polis bersama empat buah helikopter dikerahkan ke kawasan berkenaan bagi menjalankan operasi menyelamat.

Menurut portal berita BBC, seramai 119 kanak-kanak yang menyertai kem musim panas di Saint-Julien-de-Peyrolas telah dipindahkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun seorang lelaki warga Jerman berusia 70 tahun yang membantu menyelia kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang akibat bencana itu.

Warga emas itu dilaporkan cuba mencari perlindungan di dalam karavan miliknya ketika hujan lebat, namun kenderaan tersebut dihanyutkan arus deras.

Operasi menyelamat dijalankan dan pasukan penyelam dipanggil untuk membantu mencari mangsa.

Sekurang-kurangnya 10 orang dikejarkan ke hospital akibat kecederaan ringan termasuk empat kanak-kanak Jerman yang kini dirawat akibat masalah hipotermia di bandar Bagnols-sur-Ceze berhampiran Sungai Ceze.

“Kami tahu ribut berlaku tetapi tidak menjangkakan bencana yang berlaku malam tadi. Arus deras sungai sangat luar biasa dan kami bangun dengan paras air sudah mencecah kira-kira satu kaki.

“Kami berdepan situasi yang sangat menakutkan ketika memandu van meredah jalan-jalan di tepi sungai yang sudah tenggelam dengan air terjun begitu deras mencurah ke kawasan jurang,” kata seorang mangsa, Rachel Buchanan yang berkhemah berhampiran sungai di Ardeche ketika banjir melanda.

Bencana banjir itu berlaku selepas kebanyakan kawasan di selatan Perancis dan Eropah mengalami fenomena cuaca panas luar biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini