KEJUARAAN yang diraih pada kejohanan Badminton Terbuka Rusia bulan lalu terus membakar semangat beregu lelaki profesional negara, Mohd. Arif Latif-Nur Azriyn Ayub apabila melayakkan diri ke separuh akhir Terbuka Vietnam hari ini.
Gandingan yang berada pada ranking ke-77 dunia itu memastikan tempat ke separuh akhir apabila menewaskan rakan senegara yang juga pilihan utama kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi aksi straight set 21-15, 21-18 di peringkat suku akhir semalam.
Justeru, Arif sedia untuk menempah tiket ke pentas final buat kali kedua bagi saingan musim 2018. Namun, dia sedar mereka perlu berada dalam prestasi terbaik pada perlawanan hari ini sekiranya mahu merealisasikan hasrat itu.
“Tidak dinafikan saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini (semalam) kerana kami tidak jangkakan keputusan seperti ini kerana mereka merupakan beregu yang berada pada ranking lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kami berjaya lakar kejutan ke atas mereka . Apa yang saya lihat, mereka mungkin bermain dalam keadaan tertekan ketika bertemu kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, keyakinan mereka berada pada tahap tertinggi ketika ini, sekali gus membakar semangat mereka untuk menembusi kelompok 40 ataupun 30 terbaik dunia penghujung tahun ini.
“Buat masa sekarang, keyakinan saya dan Azriyn sudah semakin meningkat bagi mencapai hasrat kami untuk berada dalam kelompok 40 atau 30 terbaik dunia. Apa yang penting, kami perlu lebih fokus dalam latihan selepas ini untuk kekal konsisten,” tambahnya.
Mengulas aksi separuh akhir hari ini, Arif mengakui mereka perlu menampilkan aksi seperti semalam serta mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang membolehkan lawan mengutip mata percuma.
“Menjelang perlawanan esok (hari ini), bagi saya persiapan akan dilakukan seperti biasa selain membuat analisis terhadap permainan lawan. Paling penting adalah bermain tanpa sebarang tekanan serta fokus sepanjang perlawanan,” ujarnya.











