Sejarah, Hari Pahlawan 2018 - Utusan Malaysia

Sejarah, Hari Pahlawan 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA tidak keterlaluan dikatakan minggu lalu boleh dianggap sebagai minggu sejarah. Masakan tidak, ramai yang membicarakan tentang isu-isu sejarah. Media sosial dan forum dijadikan pentas untuk berdebat dan menyampaikan hujah masing-masing terutamanya mengenai perkembangan agama di Tanah Melayu dan sejauh manakah segelintir pihak wajar diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Subjek sejarah sememangnya amat diminati oleh penulis semasa di bangku sekolah menengah. Subjek ini antara pilihan dan kegemaran penulis selain matematik, matematik tambahan, kimia dan prinsip akaun. Ini ke­rana penulis dapat mengetahui sejauh manakah sejarah sesuatu bangsa, agama dan negara sesebuah negara terutamanya negara tercinta ini, Malaysia.

Isu-isu sejarah yang ditimbulkan minggu lalu sedikit sebanyak menunjukkan rakyat Malaysia prihatin tentang sejarah negara. Ada yang begitu yakin tentang fakta mereka seolah-olah mereka ialah seorang pakar sejarah meskipun latar belakang mereka sebaliknya. Tidak diketahui apakah rujukan mereka.

Sesiapa sahaja boleh menyatakan bahawa mereka itu memiliki fakta. Mereka boleh sahaja mentafsir sejarah berdasarkan pemahaman mereka. Namun, hakikatnya, hanya pihak yang benar-benar memiliki ilmu sejarah yang mendalam, berkelayakan dan berkemampuan untuk menerangkan tentang sejarah negara.

Bak kata seorang pakar sejarah, perkara berkaitan sejarah tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa me­lalui kaedah dan disiplin tersebut. Ini yang membezakan mereka yang pakar dan berilmu berbanding yang bercakap mengikut pandangan sahaja, Pandangan semata-mata boleh memesongkan fakta sebenar sehingga boleh menimbulkan keributan dalam kalangan rakyat.

Sejarah juga menyatakan tentang siapakah pejuang kemerdekaan Malaysia. Setiap tahun kita akan menyambut Hari Pahlawan yang jatuh pada 31 Julai. Tidak perlu disangkal lagi bahawa anggota-anggota keselamatan negara adalah pejuang sebenar Malaysia. Mereka ini sejak sebelum zaman kemerdekaan sehingga sekarang berjuang untuk mempertahankan keamanan negara.

Tidakkah kita terfikir begitu ramai antara mereka gugur di muka bumi ini semata-mata untuk menjaga keselamatan negara dan penduduknya? Tidakkah kita terfikir bagaimana mereka sanggup bekerja di perbatasan semasa musim perayaan semata-mata untuk memastikan rakyat Malaysia menyambut perayaan dengan gembira dan meriah sekali? Perjuangan mereka sentiasa berterusan tanpa putus asa. Meskipun ada yang tiada lagi, akan ada pejuang-pejuang baharu yang meneruskan perjuangan untuk mempertahankan negara.

Sememangnya wajar anggota-anggota keselamatan negara diangkat sebagai pejuang sebenar negara. Peristiwa-peristiwa berdarah yang berlaku bukan setakat sebelum kemerdekaan negara, malah selepas kemerdekaan pun membuktikan bahawa mereka ini sanggup mempertahankan negara daripada segala ancaman terhadap negara dan rakyat Malaysia.

Sebab itulah istilah pejuang tidak boleh diberikan semberono kepada semua pihak tanpa perlu ada tafsiran sebenar mengenai sesuatu pihak. Hakikatnya, disiplin ilmu sejarah mampu menerangkan siapakah pejuang sebenar dan siapakah yang sebenarnya ancaman terhadap keselamatan negara. Kalau tidak, masing-masing me­nuntut bahawa sesuatu pihak itu adalah pejuang.

Misalnya, dalam hal Palestin, terang lagi bersuluh bahawa mereka yang mempertahankan bumi Palestin iaitu rakyat Palestin sendiri ialah pejuang sebenar. Saban hari mereka ditindas oleh Zionis di muka bumi sendiri. Perjuangan mereka jelas kerana mempertahankan hak sebenar di muka bumi sendiri. Maka, kita sebagai rakyat Malaysia perlu memahami perjuangan mereka dan sete­rusnya menghayati hakikat perjuangan anggota-anggota keselamatan negara yang sentiasa bersiap siaga mempertahankan keselamatan negara dan penduduk Malaysia.

Sebab itulah sejarah perlu berlandaskan fakta. Dalam era sekarang kita perlu mengetahui maklumat yang benar dan tepat mengenai kesahihan fakta sejarah. Bagi pakar-pakar sejarah pastinya mereka ada asas yang kukuh untuk menyatakan sesuatu fakta tersebut. Pastinya juga ada perbezaan jelas antara pejuang dan pengganas. Kalau sesuatu pihak tersebut ingin diiktiraf sebagai pejuang, maka perlu dibuktikan apakah fakta sejarah bahawa mereka itu adalah pejuang.

Di seluruh dunia, ada sahaja pihak yang dianggap sebagai pengganas. Malah, seolah-olah sudah menjadi fobia dalam kalangan segelintir penduduk dunia yang melabelkan orang Islam sebagai pengganas. Apabila berlaku sahaja sesuatu tragedi buruk melibatkan keselamatan sesebuah negara, cepat sahaja jari diarahkan kepada orang Islam kononnya mereka ini pengganas.

Walhal, yang melakukan kekejaman yang begitu dahsyatnya terhadap penduduk Palestin saban hari tidak pula dikatakan sebagai pengganas. Malah, lebih teruk lagi, penduduk Palestin pula dilabelkan sebagai pengganas dan dijajanya di seluruh dunia oleh segelintir pihak yang sentiasa memusuhi agama Islam.

Justeru, dalam hal ini, kita perlu merujuk kepada pakar sejarah tentang siapakah pejuang negara. Hal ini cukup penting kerana mereka yang sebenar-benarnya pejuang negara wajar diiktiraf sepanjang masa sebagai pahlawan negara. Dibimbangi tersilap tafsir sehingga terkhilaf mengangkat pengganas pula sebagai pejuang negara. Selamat menyambut Hari Pahlawan 2018.

Semoga Malaysia kekal sentiasa aman, daulat, makmur dan sejahtera serta diredai-Nya.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN