KUALA LUMPUR 9 Ogos – Kerajaan digesa memulakan segera siasatan dalaman terhadap dakwaan kononnya wang pembayaran balik tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion telah dirompak oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
![]() |
|
Mustapa Mohamed
|
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selaku kerajaan yang bertanggungjawab, hasil siasatan dalaman itu perlu diberi tempoh seminggu untuk disiapkan dan dikemukakan kepada umum.
Menurut beliau, perkara itu juga kemudian sewajarnya dirujuk kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), selaras dengan semangat ketelusan dan reformasi dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta berlaku adil kepada semua pihak.
“Dakwaan rompakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan tuduhan yang amat berat yang mana bukan sahaja mencalarkan imej BN tetapi kesemua penjawat awam khususnya yang bertugas di Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Tuduhan ini amat serius kerana rompakan bermakna wujudnya salah guna kuasa dan penyelewengan terancang. Oleh kerana, imej kerajaan terdahulu dan penjawat amam telah tercemar di samping melibatkan kepentingan awam, saya berpendapat siasatan dalaman harus dimulakan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bangunan Parlimen, hari ini.
Guan Eng ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat semalam mendakwa wang tuntutan GST sebanyak RM19.4 bilion yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah ‘dirompak’ oleh kerajaan BN terdahulu.
Dakwa beliau, peniaga tidak dibayar kredit cukai kerana wang tuntutan tersebut yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun amanah telah dipindahkan kepada akaun yang disatukan. – UTUSAN ONLINE












