KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah akan memansuhkan pemberian tanah menerusi geran komunal dan menggantikan mekanisme itu dengan pemberian geran individu bagi membolehkan rakyat di negeri ini memiliki tanah atas nama sendiri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian geran individu akan dilaksanakan dalam tahun ini dengan menekankan beberapa pembaharuan bagi melindungi pemilik tanah supaya mereka dapat memanfaatkan pemilikan itu dan tidak berdepan masalah tuntutan atau pertindihan pada masa depan.
Katanya, antara perkara penting yang ditekankan dalam pelaksanaan itu ialah memastikan geran tanah diberi hak milik kepada penerima layak secara individu dan pengurusan tanah secara usaha sama tidak digalakkan.
“Namun, jika ada perjanjian usaha sama dilakukan pemilik tanah (geran komunal sebelum ini) ia boleh diteruskan tetapi perlu disusun semula kerana sebelum ini ia berdasarkan kumpulan tetapi (selepas ini) secara individu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, pemilik geran tanah individu juga tidak boleh mencagarkan geran tanah berkenaan kepada mana-mana pihak termasuk institusi kewangan dan tidak boleh dipindah milik meskipun menerusi kuasa peguam. – Bernama











