Riverbug Asia dikenali dalam dan luar negara - Utusan Malaysia

Riverbug Asia dikenali dalam dan luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIVERBUG Asia adalah sebuah syarikat yang menawarkan aktiviti berakit arus deras di Malaysia yang berdaftar dan diiktiraf International Rafting Federation (IFR).

Pengarah Urusan Riverbug Asia, Dares Saham Asaad @ Octavius berkata, pengiktirafan itu membuatkan syarikat tersebut dikenali di dalam dan luar negara sebagai pengendali aktiviti berakit arus deras (white water rafting) yang diyakini selamat.

Berikutan itu, pihaknya sentiasa memastikan semua petugas di syarikat berkenaan berada dalam keadaan bersedia untuk membawa peserta menyertai aktiviti berakit arus deras di beberapa sungai di Malaysia, antaranya Sungai Padas dan Sungai Kiulu di Sabah serta Sungai Kampar di Gopeng, Perak.

“Kami sentiasa mengadakan ‘refresher course’ pada setiap dua hingga tiga kali setahun kepada semua staf dan penduduk tempatan yang ingin terlibat sama dalam aktiviti ini.

“Setiap mereka akan ditemuduga dan kita akan melihat dari segi sikap dan kemahiran berenang. Sekiranya mereka tidak pandai berenang, kita akan beri latihan berenang sehingga mereka dapat berenang dengan yakin.

“Apabila telah diterima, mereka akan diberikan latihan mengendali aktiviti rakit selama tiga bulan dan perlu mengendalikan aktiviti berkenaan sebanyak 50 kali dan kami akan membuat penilaian selepas itu,”katanya kepada S2.

Menurut Dares, antara penilaian tersebut adalah menterbalikkan rakit di dalam sungai, mengangkat rakit secara individu, bantuan pertolongan cemas, mengendalikan throw line dan berenang pada jarak yang ditetapkan.

“Kami amat menekankan aspek keselamatan dalam setiap latihan yang diberikan dan kemahiran mengendalikan rakit dalam keadaan arus sungai yang deras.

“Selain itu, latihan soft skill turut diberikan kepada staf yang terlibat kerana telah menjadi budaya dalam bidang ini untuk sentiasa memastikan peserta dalam keadaan gembira sepanjang menjalani aktiviti berakit dan juga memastikan peserta dapat menikmati alam semula jadi untuk menghilangkan tekanan,”jelasnya.

Tambah Dares, penduduk kampung yang menghadiri latihan tersebut tidak akan dikenakan sebarang bayaran atau kontrak bersama syarikatnya.

“Latihan bernilai RM5,000 hingga RM10,000 ini tidak dikenakan sebarang bayaran kepada pelatih dan tiada sebarang sekatan atau kontrak dikenakan.

“Setiap pelatih boleh terus bekerja bersama Riverbug sama ada di Sungai Padas, Sungai Kiulu di Sabah atau Sungai Kampar di Gopeng, Perak atau mana-mana syarikat yang menawarkan perkhidmatan yang sama.

“Gaji pekerja tetap bermula daripada RM1,000 ke atas sebulan termasuk elaun iaitu antara RM50 hingga RM80 sehari.

“Sekiranya kemahiran mereka bagus, peluang terbuka luas kepada mereka untuk bekerja di luar negara sebagai jurupandu sungai (river guide) atau pengendali aktiviti berakit 
arus deras,”tambahnya.

Dares juga berkata, masyarakat Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti berkenaan apabila melancong ke Sabah atau Perak.

“Di luar negara, air datang dari salji cair maka ia lebih sejuk sehingga kadang kala terpaksa memakai wetsuit apabila berakit.

“Sebaliknya, suhu air di sungai-sungai di negara kita tidak terlalu sejuk, sekali gus menarik pelancong dalam dan luar negara melakukan aktiviti lasak berakit arus deras ini,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN