BACHOK 2 Ogos – Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bagi membantu kehilangan pelajar perempuan dari Kampung Hujung Repek, dekat sini, sejak 26 April lepas.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, remaja lelaki itu dikenali sebagai Mohd. Edry Farhan Suding beralamat Kampung Gelang Gelonggong, Beris Lalang, Bachok untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, pada hari kejadian, remaja perempuan berusia 15 tahun itu dikatakan hilang dari rumah keluarganya pada pukul 1.30 petang dan sehingga kini masih belum ditemukan.
“Polis sudah menjejaki remaja lelaki ini namun gagal ditemukan. Mohd. Adry perlu tampil memberi kerjasama kepada pihak polis bagi menyelesaikan segera kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, dekat sini, hari ini.
Nik Aminudin berkata, remaja perempuan itu belajar dalam tingkatan tiga di salah sebuah sekolah menengah di jajahan ini.
Katanya, orang ramai yang menemukan kedua-dua remaja ini diminta menghubungi Inspektor Nazri Mohamad di talian 016555576 atau 09-7788222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 361 Kanun Kesiksaan bagi kes penculikan dari penjagaan yang sah kepada perempuan 16 tahun ke bawah. – UTUSAN ONLINE










