Ramai lagi bakal ditukar - Utusan Malaysia

Ramai lagi bakal ditukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan pertukaran beberapa pegawai kanan termasuk ketua polis daerah (KPD) dalam masa terdekat bagi membanteras kegiatan judi haram di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, langkah tersebut dibuat sebagai amaran kepada Ketua Polis Ne­geri dan Daerah bagi memastikan usaha membanteras kegiatan itu perlu dipandang serius.

“Pertukaran serta merta seorang Ketua Polis Daerah ming­gu lalu adalah kerana kegagalan pegawai terlibat dalam mena­ngani kegiatan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Meskipun pegawai terbabit tidak terlibat melindungi aktiviti itu namun kerana kegagalannya membendung kegiatan tersebut, dia harus bertanggungjawab.

“Tindakan pertukaran itu tidak akan berhenti di situ sahaja kerana terdapat beberapa lagi pegawai kanan termasuk ketua polis daerah lain turut akan ditukarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar Polis Diraja Malaysia bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi Mendepani Cabaran Dalam Kepolisan Moden di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail.

Pada 28 Julai lalu, Mingguan Malaysia melaporkan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad diarah bertukar serta merta ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, Ne­geri Sembilan sebagai Komandan.

Tempat Ali diisi Komandan Pulapol Air Hitam, Asisten Komisioner Samsor Maarof.

Mohamad Fuzi menambah, tindakan itu diharap dapat menjadi pengajaran kepada Ketua Polis Negeri dan Daerah supaya tidak sambil lewa menangani aktiviti berkenaan di kawasan ja­gaan mereka.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu akan mengadakan perjumpaan bersama 157 ketua polis daerah di seluruh negara Isnin ini bagi membincangkan beberapa perkara.

Jelas beliau, salah satu intipati yang akan dibincangkan adalah berkaitan pembanterasan masalah judi haram di kawasan mereka.

“Banyak kali saya ingatkan pegawai dan anggota mengenai kegiatan itu sebelum ini, namun mereka seolah-olah tidak serius dalam membendung perkara tersebut.

“Kita terpaksa mengambil satu tindakan tegas supaya pegawai yang berada di daerah-daerah lain tidak melakukan tindakan serupa. Jika mereka masih membiarkan keadaan itu berleluasa, maka kita akan mengambil tindakan serupa,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×