SEPANG – Wakil tunggal sukarelawan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh yang ditahan tentera Israel di Penjara Givon, berasa seperti berada di zon perang ketika kapal flotila Al-Awda membawa ubat-ubatan ke Gaza ditawan tentera Israel pada kedudukan 49 batu nautika dari perairan Gaza.
Mohd. Afandi yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi berkata, kapal berkenaan dikepung 12 bot tentera laut Israel termasuk tiga kapal perang biarpun hanya membawa bekalan ubat, sedangkan semua benda yang boleh mengancam keselamatan tentera Israel sudah dicampak ke laut.
“Malah garpu juga saya campak ke laut kerana tidak mahu tentera Israel berasa terancam. Namun kapal kami tetap dikepung dengan tentera bersenjatakan mesingan dan diarahkan belayar ke perairan Israel,” katanya.
Timbalan Dekan Fakulti Undang-Un dang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berusia 47 tahun yang menetap di Terengganu itu selamat tiba di tanah air selepas dibebaskan oleh tentera negara berkenaan pada Isnin.
Mohd. Afandi dibebaskan selepas ditahan di penjara Israel selama kira-kira 36 jam.
Beliau tiba di KLIA pada 7.40 malam dengan pesawat Thai Airways dari Bangkok. Sebelum itu, Mohd. Afandi menaiki pesawat Israel Airlines El Al dari Tel Aviv ke Bangkok.
Jelasnya, beliau dibebaskan tentera Israel selepas dipaksa menandatangani surat perakuan bahawa dia menceroboh perairan Israel. – Bernama










