SELEPAS memenangi pilihan raya pada Oktober 1963, Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee dua bulan kemudian mengunjungi Bilik Gerakan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
Semasa itu, Tun Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Sebelum taklimat diberikan mengenai pembangunan luar bandar Malaysia, Chung Hee telah terpandang sepotong ayat al-Quran yang tertulis pada mukadimah papan taklimat kementerian.
Apabila presiden itu mengetahui maksud ayat dalam surah ar-Ra’d: 11 itu: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka”, beliau menyebut: “Nampaknya agama Islam menghendaki umatnya berdikari atau self-help.”
Sekembali ke negaranya dalam waktu taklimat hendak melancarkan program Saemul Undung sebagai permulaan kepada inisiatif pembangunan Korea Selatan, Chung Hee telah memulakan ucapannya dengan mengolah ayat al-Quran itu, seraya berkata:
“The religion of Muhammad has commanded that God shall not change the fate of man until they change themselves.”
Bermula dengan program inilah Korea Selatan yang dahulunya lebih mundur dari Malaysia sebelum Chung Hee ke negara ini, kini menjadi lebih maju kerana mengamalkan sepotong ayat dari al-Quran. Bahkan, mereka menjadi saingan hebat kepada Jepun.
Mengapa orang bukan Islam ‘nampak’ pendekatan sedemikian, tidak seperti kebanyakan orang Melayu sendiri, dengan mengambil inspirasi dari ayat yang terkandung dalam al-Quran?
Di Jepun pula suatu ketika pada 1920-an, anak muda mereka berjaya meniru jam tangan Titoni dan Swiss untuk mencipta jam Citizen sehingga berjaya dipasarkan ke seluruh dunia. Waktu itu di Jepun, kreativiti diiktiraf.
Tetapi adakah kreativiti anak muda di negara ini termasuklah dalam politik masih perlu menempuh kerenah birokrasi sehingga menyekat daya kreativiti mereka?
Sejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 yang terukir pada 9 Mei (2018) lalu mengungkapkan kebenaran kata-kata Otto Von Bismarck bahawa politik itu adalah seni bagi apa jua kemungkinan politics is the art of the possible.
Kita wajar menghormati segala keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui proses demokrasi, yang jelas menunjukkan mereka memilih Pakatan Harapan.
Kini, bermula era salah sebuah parti berteraskan Melayu iaitu UMNO yang harus bertindak sebagai pembangkang yang berwibawa. Tetapi dalam mendepani corak pemikiran Melayu yang semakin kritikal, mandat pertama yang diberikan kepada Pakatan Harapan yang berjaya menerajui kerajaan ini perlu menjadi teras kepada good governance.
Begitupun, kebelakangan ini kedengaran keluh kesah seakan-akan ‘menang sorak kampung tergadai.’ Benarkah tanggapan ini?
Orang Melayu yang terkenal dengan sifat murah hati dikatakan seakan-akan hanya sebagai ‘penanam’ semata-mata dan membiarkan orang lain sebagai ‘penuai’. Suara Melayu (juga Islam) dikatakan seakan-akan tenggelam jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Ini sekurang-kurangnya di Semenanjung yang lebih berani mengemukakan tuntutan mereka dan secara tidak langsung menggugat kontrak sosial. Peribahasa ada menyebut ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.
Jika diimbas di masa lalu, kerajaan telah menyediakan tapak yang kukuh untuk orang Melayu meningkatkan taraf sosioekonomi melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dari 1971 hingga 1990.
Kerajaan baharu memberikan isyarat yang jelas bahawa dasar baharu ekonomi akan diperkenalkan. Belajar daripada pengalaman lalu, misalnya kejayaan dan kegagalan orang Melayu, terutamanya ahli perniagaan dan para usahawan sepatutnya mempersiapkan diri mereka untuk bergerak seiringan dengan dasar yang akan diperkenalkan kelak, dengan jangkaan bahawa mereka tidak akan diberikan naungan dan akan kehilangan ‘tongkat’. Andailah bahawa zaman bernaung dan bertongkat telah berlalu dan inilah realiti baharu yang perlu diharungi secara nekad.
Persoalan yang hakiki, “adakah orang Melayu menerima dan akan melonjakkan diri mereka ke arah perubahan radikal demi survival mereka pada tahun mendatang? Perubahan radikal bermaksud perubahan sikap, budaya dan keinginan berubah ke arah yang lebih baik tanpa menunggu peluang perubahan politik yang lebih menguntungkan.
Justeru, untuk tempoh lima tahun mendatang ini, orang Melayu perlu lebih bijaksana melangkaui dendangan klasik yang sentiasa menghantui mereka akibat salah faham konsep ketuanan Melayu. Sebaliknya, orang Melayu seharusnya melakukan perubahan radikal.
Dalam erti kata, sentiasa bersiap-siaga untuk ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ serta mampu bersaing dengan kaum-kaum lain, dengan cara membayangkan diri mereka hidup dalam satu situasi yang cukup runcing dan mereka bukan lagi sebagai ‘anak yang dimanjakan’.
Mereka harus mengandaikan diri sekadar ‘majoriti angka’ dan bukannya ‘majoriti sosial’. Suka atau tidak suka, pada hakikatnya orang Melayu perlu bersedia untuk bermain di padang sama rata. Mengambil inspirasi dari titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan “Penghijrahan Minda – Penghijrahan Budaya” pada Malam Semarak Perjuangan Sempena Anugerah Tokoh Srikandi 2018 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bahawa orang Melayu perlu “berhenti sifat menyalahkan tanah yang tinggi rendah apabila tidak pandai menari. Melayu hendaklah menjadi penari hebat meskipun tanah tinggi rendah.”
Peluang yang terhidang di hadapan mata orang Melayu sudah jelas. Gelombang Revolusi Industri Keempat sedang melanda dan oleh itu mereka perlu menguasai artificial intelligence (AI) dan pelbagai bidang ilmu untuk dimanfaatkan. Namun, sikap tunggu dan lihat yang selama ini diamalkan oleh sesetengah orang Melayu hanya akan menjadi batu penghalang menguasai perubahan tersebut.
Titah Sultan Nazrin itu tempoh hari ditujukan kepada semua orang Melayu, tidak kira fahaman politik dan kepartian.
“Jika orang Melayu tidak ada kesungguhan mahu melakukan pembetulan, dibimbangkan akan muncul di pentas hidup Malaysia moden, lebih ramai watak Lebai Malang dan Pak Pandir, watak-watak seperti yang digambarkan di dalam kisah-kisah jenaka rakyat. Mat Jenin moden muncul di pentas hidup masa kini, disebabkan sifat kurang disiplin dalam kalangan anak Melayu yang pernah diberikan banyak peluang menjadi kaya, tetapi terlalu awal bermimpi asyik, hingga terhempas jatuh ke tanah. Akibatnya orang Melayu menghadapi nasib Pak Kaduk, menari-nari dalam sorak kemenangan palsu, diiringi korus, membiarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Akibatnya bangsa menghadapi nasib menang sabung – kampung tergadai,” demikian titah Sultan Nazrin tempoh hari.
Baginda seorang raja yang bijaksana yang sering menzahirkan buah fikiran bernas dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara. Bahkan, titah ucapan baginda sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang Melayu dan sewajarnya dihadam oleh orang Melayu.
Sejajar dengan perubahan politik tanah air, orang Melayu mesti berani dan yakin berada dalam realiti baharu. Tidak boleh lagi berasa rendah diri dan mengalami kekalahan psikologi yang berpanjangan. Mesti bersiap-siaga sepanjang masa.
Hanya perubahan minda dan budaya yang radikal sahaja membolehkan watak Melayu berubah. Agar kelak tidak mengundang ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah Penganalisis Politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).










