Pusat akan teruskan pembangunan sukan - Wan Sukairi - Utusan Malaysia

Pusat akan teruskan pembangunan sukan – Wan Sukairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 8 Ogos – Kerajaan Pas menerima jaminan daripada kerajaan Pusat bahawa beberapa projek pembangunan sukan dan rekreasi yang dirancang semasa negeri ini di bawah teraju Barisan Nasional akan diteruskan.

WAN SUKAIRI
WAN SUKAIRI

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penegasan itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam mesyuarat bersama kesemua Exco Belia dan Sukan seluruh negara di Putrajaya, semalam.

“Terengganu membangkitkan lima perkara termasuk pembinaan velodrom di Dungun, Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Kompleks Sukan Mini di Jabi, Setiu di samping Pusat Rekreasi Air di Pulau Duyong.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebahagian daripada projek ini telah diletakkan batu asas pembinaan dan telah diumumkan sendiri oleh menteri terdahulu, dan diluluskan dalam perancangan projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, beliau turut menyentuh soal peruntukan khas kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Cycling Team (TSG) seperti yang dijanjikan oleh Menteri Belia dan Sukan terdahulu.

“Permohonan insentif khas itu berdasarkan kejayaan cemerlang Terengganu dan juga kecemerlangan sukan berbasikal di peringkat dunia yang dicapai oleh TSG,” ujarnya.

Wan Sukairi menghargai sikap matang yang ditunjukkan oleh Syed Saddiq yang mahu memastikan pembangunan sukan dan projek berkaitan tidak terabai dan tetap akan dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Malah, menurut beliau lagi, Syed Saddiq juga bersetuju melakukan lawatan ke negeri ini, Kelantan dan Pahang untuk menyelaraskan semua perkara berkaitan kementeriannya Pusat dan negeri dalam tempoh terdekat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×