KUALA TERENGGANU 8 Ogos – Bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap urusan jual beli hartanah termasuk status tanah, pendaftaran pemilikan dan proses pinjaman, satu program mengenainya diadakan di sini baru-baru ini.
Program Bicara Santai Guaman Jual Beli Hartanah yang terbuka kepada umum itu dikendalikan oleh Tetuan Fariz Halim & Co. (FALCOlaw) dengan kerjasama Terengganu Inc., Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Konsortium perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT).
Perasmian program ini disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden Terengganu Inc., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan rakan kongsi FALCOlaw, Fariz Irwan Mustafa.
Program yang diisi dengan sesi penjelasan dan dialog dikendalikan oleh para peguam berpengalaman dalam guaman hartanah termasuk Redzuan Idrus, Nor Raihan Abdullah dan Marisa Mamat.
Peserta didedahkan dengan kefahaman mengenai geran tanah, perjanjian jual beli, tips bagi memudahkan mereka membuat pinjaman dan urusan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang disediakan oleh kerajaan Pusat kepada penjawat awam. – UTUSAN ONLINE











