PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dijalankan secara serentak dengan PRK DUN Balakong, Selangor iaitu pada 8 September ini.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Ogos iaitu pada hari Sabtu dan hari mengundi awal pada 4 September (Selasa) sekali gus menyaksikan tempoh berkempen selama 21 hari.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, keputusan menjalankan pilihan raya kecil itu secara serentak dibuat kerana ia memberikan kemudahan kepada petugas SPR, persediaan dari segi logistik dan keselamatan oleh pihak polis.
Beliau berkata, SPR juga akan melakukan penambahbaikan yang serupa dengan PRK DUN Sungai Kandis iaitu tambahan dua saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas dan penambahan saluran mengundi di pusat-pusat mengundi.
“Bagi PRK DUN Seri Setia sebanyak 24 saluran baharu disediakan menjadikan keseluruhan 115 saluran berbanding 91 saluran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kita juga akan menambah kepada tiga petak undi dalam bilik di pusat mengundi berbanding dua sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas SPR berhubung urusan PRK DUN Seri Setia di sini semalam.
PRK tersebut diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Allahyarham Dr. Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu.










