PETALING JAYA 8 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang membangunkan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini ekoran situasi mendesak yang dihadapi penghuni perumahan itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbang dan mengambil kira masalah penyelenggaraan yang berlarutan sejak lima tahun lalu ekoran beberapa isu melibatkan kontraktor dengan persatuan penduduk.
Katanya, perancangan tersebut akan dilaksanakan segera selepas pengumuman Dasar Komuniti Negara pada bulan depan ekoran intipatinya turut menyentuh beberapa aspek penting dalam rangka pembangunan PPR seluruh negara. “Keadaan perumahan kos rendah tersebut sudah terlalu uzur walaupun baharu berusia 18 tahun. Ini menjadikannya projek paling utama sekaligus mendahului senarai perkara berbangkit yang memerlukan perhatian serius kementerian. “Langkah drastik ini diambil melalui pembentukan jawatankuasa bertindak melibatkan penduduk dan beberapa lagi pihak bagi menggerakkan usaha sama ada meroboh, membina semula atau melaksanakan kaedah lain,” katanya kepada pemberita dalam lawatan turun padang ke PPR itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











