KULAI 8 Ogos – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri merampas 1,392 unit paket sabun serbuk pencuci pakaian jenama Daia yang disyaki tiruan bernilai RM6,090 dalam operasi di dua premis perniagaan berasingan di Jalan Pandan Ria 6, Kangkar Tebrau, Johor Bahru semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Aris Mamat berkata, operasi pukul 10.30 pagi itu dijalankan sekumpulan 15 anggota penguat kuasa selepas mendapat aduan daripada pemilik jenama sabun serbuk pencuci pakaian berkenaan.
“Sabun serbuk pencuci pakaian ini dijual pada harga RM4.37 bagi satu pek seberat 850 gram berbanding harga produk yang asli di pasaran iaitu antara RM6 hingga RM7.
“Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca bekalan barangan tersebut. Pihak kami juga percaya barangan ini adalah untuk diedarkan dalam pasaran di dalam dan luar dari negeri ini,” katanya di stor eksibit PPDNHEP negeri di Senai di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










