KOTA BHARU 11 Ogos – Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) hari ini meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kerusi roda dan wang tunai kepada pelakon, pelawak dan penggiat seni dikir barat Kelantan, Mohd Idris Berahim,58 di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini hari ini.
Mohd Idris atau lebih dikenali sebagai Abang Jali Salam Pantai Timur kehilangan kaki kanannya hampir tiga minggu lalu akibat penyakit diabetes yang dihidapi sejak sekian lama.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Media Dan Komunikasi POKB , Johari Abdullah.
Johari berkata, pihaknya berharap agar bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban Abang Jali sekeluarga.
“Bantuan segera ini menerusi Tabung Yayasan Kasih Kanser dan Kronik OKB untuk membantu setiap golongan yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum serta fahaman politik,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Ziarah Kaseh POKB hari ini.
Yang turut hadir, Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamed.
Dalam pada itu, Ahmad Dusuki berkata, kunjungan ini sebagai satu peransang semangat supaya Abang Jali tabah menjalani kehidupan.
“Pihaknya akan terus memberi perhatian dan cuba bantu dalam meringankan beban sahabat yang menghidap penyakit ini di negeri ini dan seluruh Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Abang Jali mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang menyampaikan sumbangan serta masih memberi perhatian kepadanya. – UTUSAN ONLINE










