Pesara ugut guna pistol ditahan - Utusan Malaysia

Pesara ugut guna pistol ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Seorang pesara ditahan selepas melakukan ugutan jenayah menggunakan sepucuk pistol di sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 7.10 malam bahawa seorang lelaki dalam keadaan mabuk dan berdarah di bahagian kepala telah mengeluarkan sepucuk pistol.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, suspek berusia 61 tahun minum minuman keras bersama seorang rakan di sebuah restoran seterusnya berlaku pertengkaran antara mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kita dapati suspek terjatuh sendiri dan kepalanya terhentak bucu meja makan.

“Pemilik restoran telah memanggil ambulan dan setelah paramedik memberikan rawatan, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan mencari rakannya tadi. Tindakannya mencetuskan panik dalam kalangan orang awam yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zani berkata, suspek kemudian ditahan oleh sepasukan anggota polis dan sepucuk pistol, magazin serta peluru turut dirampas.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×