KUALA LUMPUR – Pertukaran serta-merta bekas Ketua Polis Daerah Gombak baru-baru ini adalah berikutan kegagalan beliau dalam memerangi aktiviti perjudian di sekitar daerah tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan perkara tersebut berkata, setiap Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Negeri perlu bertanggungjawab di atas setiap kegagalan dalam melaksanakan arahan yang diberikan.
“Saya telah berkali-kali mengeluarkan amaran kepada setiap Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Negeri berhubung beberapa perkara termasuk membendung kegiatan perjudian haram di tempat mereka jadi sekiranya ia gagal dipatuhi tindakan tegas harus diambil.
“Mereka tidak terlibat dalam aktiviti tersebut namun mereka tetap perlu bertanggungjawab dari segi penugasan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Seminar Hak Asasi Manusia dan Kepolisan di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, tindakan serupa akan turut diambil di tempat lain sekiranya kejadian sama berlaku di sana.
“Tindakan tegas akan dikenakan bukan sahaja kepada Ketua Polis Daerah namun kepada sesiapa sahaja yang berkaitan.
“Saya berharap perkara ini akan menjadi iktibar kepada setiap pegawai polis agar lebih bertanggungjawab di atas setiap arahan yang diberikan,” tegas beliau.
Kosmo! Online 28 Julai lalu melapokan tentang pertukaran bekas Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ali Ahmad yang ditukarkan serta merta dan kini menjawat jawatan sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam. – K! ONLINE
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut memaklumkan bahawa satu perjumpaan dengan 157 Ketua-ketua Polis Daerah di seluruh negara akan diadakanpada 6 Ogos depan bagi memberi penekanan kepada beberapa isu termasuk usaha memerangi aktiviti perjudian haram.










