Perkeso serah faedah pencen kepada balu petugas media - Utusan Malaysia

Perkeso serah faedah pencen kepada balu petugas media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan sumbangan faedah pencen penakat kepada Suraya Musa, 40 iaitu isteri kepada seorang petugas media, Khairuddin Jamaluddin, 50, yang meninggal dunia akibat pendarahan dalam perut pada 25 Jun lalu.

Ketua Bahagian Faedah Perkeso, Mohamad Fauzi Jaafar berkata, di bawah skim pencen ilat tersebut, sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia, waris layak mendapat faedah pencen penakat berkenaan.

Jelas beliau, sebagai waris, Suraya layak menerima faedah pencen penakat berjumlah RM1,510 sebulan sepanjang hayat manakala tiga orang anaknya berumur 10 tahun, tiga tahun dan enam bulan menerima bayaran sehingga berumur 21 tahun.

“Namun begitu, sekiranya anak-anaknya meneruskan pengajian, bayaran ini akan diteruskan sehingga mereka menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama.

“Pada masa sama, Perkeso juga menyediakan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 juga di bawah skim pencen ilat kepada waris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Perkeso di Seri Kembangan dekat sini, hari ini.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.

Yang turut hadir ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Raja Shahreen Raja Othman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN