PARIS 9 Ogos – Perancis merancang untuk membuka semula kertas siasatan berhubung nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 selepas laporan akhir yang ditunggu-tunggu gagal memberi sebarang penjelasan mengenai misteri kehilangannya.
Akhbar Perancis, Le Parisien melaporkan, Pengangkutan Udara Gendarmerie Perancis (GTA) mahu memeriksa data daripada pengendali rangkaian satelit global Britain, Inmarsat yang mengesan kedudukan pesawat berkenaan ke selatan Lautan Hindi dari Australia Barat, lokasi MH370 dipercayai terhempas.
Tambah laporan itu, GTA mahu meneliti semula semua data teknikal yang dibekalkan oleh Inmarsat bagi mengetahui kesahihannya dan mengesahkan sama ada laluan pesawat itu dikesan dengan betul.
GTA dibenarkan untuk menjalankan siasatan sendiri selepas empat rakyat Perancis merupakan antara mangsa nahas pesawat terbabit.
Susulan itu, ahli keluarga mangsa mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan Malaysia untuk mendedahkan semua data, termasuk data radar tentera bagi semakan dan analisis oleh pakar bebas.
Pada 30 Julai lalu, Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kehilangan pesawat MH370.
Dapatan itu dirumuskan dalam laporan siasatan keselamatan pasukan tersebut setebal 449 muka surat.











