IPOH – Kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM250,000 untuk persiapan kontinjen Perak bagi menghadapi kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 yang akan berlangsung pada Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, jumlah dana yang diperuntukkan itu meliputi penganjuran, elaun selain penginapan untuk atlet dan jurulatih negeri.
“Kita berharap dana yang diperuntukkan ini akan menjadi pemangkin kepada para atlet untuk menampilkan prestasi memberangsangkan sekaligus mengharumkan nama negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Kerjaya Untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di sini hari ini.
Selain itu, Chuan How berkata, seramai 2,000 individu terdiri dalam kalangan atlet dan pegawai dari 15 kontijen negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan terlibat dalam kejohanan itu yang akan berlangsung dari 21 hingga 28 Oktober.
Menurut Howard sebanyak 370 acara melibatkan pelbagai kategori dan jenis sukan akan dilangsungkan di sembilan venue sekitar bandaraya ini.
Sukma ke-19 Perak 2018 akan berlangsung pada 12 hingga 22 September depan dengan mempertandingkan sebanyak 29 jenis sukan melibatkan 427 acara di 40 venue di semua 12 daerah seluruh negeri. – Bernama











