Penyokong Najib terkejut tidak dibenarkan masuk kompleks mahkamah - Utusan Malaysia

Penyokong Najib terkejut tidak dibenarkan masuk kompleks mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan ketidakpuasan hati mereka berhubung larangan memasuki kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kumpulan tersebut memaklumkan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung sekatan itu yang didakwa melanggar hak asasi manusia.

Bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, larangan tersebut merupakan satu kejutan kepada penyokong Najib yang hadir bagi memberi sokongan moral kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Larangan ini sangat tidak masuk akal dan tiada sebab mengapa kami tidak dibenarkan masuk ke kawasan mahkamah yang merupakan kawasan awam.

“Sekatan sebegini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan sudah semakin tergugat sehingga terpaksa mengeluarkan arahan yang tidak masuk akal,” katanya dalam satu sidang akhbar di hadapan pintu pagar utama kompleks tersebut hari ini.

Turut kelihatan bersama kumpulan penyokong Najib adalah pelakon dan pengarah filem terkenal, Ellie Suriati.

Terdahulu, Najib dilihat hadir di Mahkamah Kuala Lumpur sekitar pukul 8.50 pagi bagi sesi pendengaran tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd.

Kawasan perkarangan kompleks tersebut dipenuhi oleh kira-kira 100 orang petugas media dari dalam dan luar negara seawal pukul 5.30 pagi tadi bagi membuat liputan pendengaran itu.

Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil penyokong Najib hadir bagi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri tersebut dan jumlah mereka tidak sampai 20 orang.

Menurut Lokman, pihaknya hanya dimaklumkan tentang sesi pendengaran tersebut lewat malam tadi.

“Kami dimaklumkan berhubung pendengaran ini pada saat akhir dan tidak sempat menyebarkannya kepada rakan-rakan lain dan ada di antara kami yang menetap jauh dari sini,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN