KUALA LUMPUR 8 Ogos – Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman akan cuba memuktamadkan pengganti pemegang jawatan lantikan politik dalam agensi kementeriannya selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang yang bermula 18 Ogos ini.
Katanya, agensi seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah diminta mencadangkan calon-calon pengganti untuk jawatan berkenaan.
“Yang penting tiada lagi lantikan politik. Kita tidak mahu yang gantikan mereka nanti masih daripada kalangan yang sama. Tiada lagi (seumpamanya).
“Minggu depan saya sudah kena fokus Sukan Asia jadi mungkin selepas itu kita dapat muktamadkannya,” katanya selepas sesi berjoging dengan petugas MSN, ISN dan atlet negara di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Mengenai amaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam terhadap segelintir persatuan sukan kebangsaan yang mengarahkan atlet Kategori B membayar sendiri kos pemergian ke Sukan Asia, Syed Sadiq agak berdiplomasi dengan kesulitan itu.
“Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Saya faham ada persatuan sukan yang mengalami kesempitan dana sedangkan atlet mereka begitu terdesak untuk beraksi mewakili negara.
“Saya rasa kita masih boleh cari titik pertemuan dalam menyelesaikan masalah ini. Kita akan cuba bantu sebaik mungkin,” katanya.
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif majlis, mengingatkan persatuan terbabit agar tidak sesekali menyusahkan atlet-atlet berkenaan yang sepatutnya cuma fokus kepada latihan persediaan dalam memberikan prestasi terbaik.
“Kami tidak akan menyokong mahupun melayani arahan segelintir persatuan yang cuba menyusahkan antara 241 atlet kategori itu,” katanya tanpa mendedahkan persatuan terbabit.
Kos yang ditagih persatuan itu dikatakan meliputi perbelanjaan untuk makan dan minum, penginapan serta pengangkutan di Perkampungan Sukan Asia selain tambang penerbangan pergi balik.











