Penduduk panik gempa susulan - Utusan Malaysia

Penduduk panik gempa susulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MATARAM, Indonesia – Satu gempa susulan kuat melanda Pulau Lombok, Indonesia semalam sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan orang yang dipindahkan akibat kejadian gempa kuat di pulau percutian itu empat hari lalu.

Gempa berukuran 5.9 skala Ritcher itu menggegarkan kawasan barat laut pulau berkenaan, menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran itu dilaporkan berlaku pada ketika anggota penyelamat berusaha mencari mangsa-mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan akibat kejadian gempa bumi pada Ahad lalu.

Gempa terbaharu itu adalah yang pa­ling kuat daripada kira-kira 355 gempa susulan selepas satu gegaran kuat yang meranapkan pulau itu sejak Ahad lalu, menurut jurucakap agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Sekumpulan orang yang dipindahkan ke sebuah pusat perlindungan di daerah Tanjung, Pulau Lombok dilihat melarikan diri ke jalan-jalan raya sambil menjerit, menurut seorang wartawan agensi berita AFP yang berada di lokasi kejadian.

Sejumlah motosikal yang diletakkan di jalan raya tumbang, manakala beberapa dinding batu bangunan berhampiran runtuh akibat gegaran itu.

“Orang ramai di jalan raya mula menjadi panik dan keluar daripada kereta masing-masing, mereka lari ke arah berbeza di dalam kesesakan trafik,” kata Sri Laksmi.

Gempa susulan itu berlaku selepas empat hari kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.9 skala Ritcher di Pulau Lombok yang sehingga kini menyebabkan lebih 319 orang terbunuh, manakala 1,400 lagi cedera parah dan lebih 150,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Pihak berkuasa tempatan, kumpulan bantuan antarabangsa dan kerajaan pusat telah memulakan penghantaran bantuan kemanusiaan tetapi jalan raya rosak menyekat daripada tiba kepada mangsa-mangsa di kawasan pergunungan utara Pulau Lombok, kawasan paling teruk terjejas.

Persatuan Palang Merah Indonesia menyatakan pihaknya mendirikan 10 buah klinik mudah alih di utara Pulau Lombok.

Sebuah hospital lapangan didirikan berhampiran satu pusat pemindahan yang menempatkan lebih 500 orang di perkampungan Tanjung. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN