KUALA LUMPUR 1 Ogos – Tindakan kerajaan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah langkah yang cuai dan kurang cermat.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerajaan sepatutnya menangguhkan sementara pemansuhan GST dan memberi tempoh percubaan selama setahun kerana ia lebih baik kepada ekonomi negara.
“Adalah sesuatu yang lebih wajar dan munasabah agar kerajaan melakukan satu simulasi menyeluruh (seperti cadangan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin) untuk menilai kemungkinan mengurangkan kadar GST dan memperluaskan senarai bekalan kadar sifar, dikecualikan dan diberikan pelepasan GST.
“Ramai dalam kalangan wakil rakyat pembangkang merasakan bahawa meletakkan GST pada kadar yang lebih rendah, contohnya tiga peratus, bersekali pengurangan tempoh tax holiday (kelepasan cukai) akan memberikan impak lebih positif kepada ekonomi negara dan memberikan kerajaan ruang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi tanpa meletakkan beban kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Rang Undang-undang (RUU) GST (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali pertama dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah, semalam.
GST dijadualkan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September ini. – UTUSAN ONLINE











