Pelantikan peguam didakwa timbul konflik kepentingan - Utusan Malaysia

Pelantikan peguam didakwa timbul konflik kepentingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 8 Ogos – Sekretariat Peguam Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan melantik peguam dari firma guaman Peguam Negara untuk memfailkan tuntutan ke atas rampasan kapal mewah The Equanimity, semalam.

Pengerusinya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihaknya berpandangan pelantikan itu boleh menimbulkan suatu konflik kepentingan kerana barisan peguam yang dilantik merupakan peguam cara di firma guaman Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Bagaimana kerajaan hari ini boleh melantik peguam dari firma guaman Peguam Negara sendiri bagi memfailkan tuntutan kes ke atas kapal tersebut dan menyiasat status pemilikan kapal berkenaan?

“Pelantikan itu sendiri secara jelas boleh menimbulkan konflik kepentingan kepada Tommy Thomas iaitu antara peranan beliau sebagai Peguam Negara dan pemilik firma guaman berkenaan.

“Malah, konflik kepentingan itu jelas bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) seperti yang dinyatakan dalam Buku Harapan di helaian empat iaitu PH berjanji menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara dan mengembalikan kedaulatan negara sekali gus menjamin kebebasan agensi penting dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mahkamat Tinggi Kuala Lumpur semalam mengeluarkan perintah merampas kapal mewah Equanimity bernilai RM1 bilion yang didakwa milik ahli perniagaan kontroversi dari negara ini, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Penyitaan kapal itu juga didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN