Pekerja hotel didenda RM15,000 palsukan dokumen bomba - Utusan Malaysia

Pekerja hotel didenda RM15,000 palsukan dokumen bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH – Seorang pekerja hotel didenda RM15,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bomba Oktober lalu.

Tertuduh, Alliff Al-Hafiz Ahmad, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa telah menggunakan sebagai tulen dokumen iaitu resit rasmi kerajaan Malaysia dan pelekat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang ditampal di dua alat pemadam api milik Chai Jye Niang, 41, yang ketahuinya sebagai satu dokumen palsu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut di Jalan Besar Chenderiang di sini pukul 4 petang pada 16 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.

Terdahulu, Hennie Soraya memohon hukuman denda yang ringan dikenakan terhadap tertuduh memandangkan lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain perlu menanggung kedua ibu dan bapanya.

Bagaimanapun, Fatin Farahiyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan itu merupakan kesalahan serius dan melibatkan kepentingan awam.

Mohd. Harith kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM15,000 dan sekiranya gagal bayar, tertuduh dikenakan penjara selama 12 bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×