KOTA KINABALU – Seorang pegawai eksekutif Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) Cawangan Kota Kinabalu dibebaskan selepas direman empat hari bagi membantu siasatan salah laku rasuah membabitkan nilai sebanyak RM36,500, kira-kira 12 tahun lalu.
Majistret Cindy Mc Juse Balitus membenarkan lelaki berusia 56 tahun terbabit dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 bersama dua penjamin rakyat tempatan.
Pada masa sama, suspek diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Terdahulu, suspek yang tiba lebih kurang pukul 9.30 pagi di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini, direman selama empat hari sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan salah laku rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Mengikut pendakwaan, suspek yang merupakan Pegawai Eksekutif Unit Komersial Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dekat sini dikatakan menerima suapan antara RM500 hingga RM4,500 sebagai habuan bagi setiap kelulusan tapak sewaan melalui akaun Maybank atas namanya antara tahun 2006 hingga 2014.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd. Faizal Abdul Razak manakala suspek pula diwakili peguam PJ Pereira dan Ariel Dasan. – K! ONLINE











