Nur Annisa pilih irama Melayu asli - Utusan Malaysia

Nur Annisa pilih irama Melayu asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEZA dengan kebanyakan generasi muda yang lebih menggemari genre muzik berentak moden, Nur Annisa Kasim lebih cenderung mengetengahkan muzik irama Melayu asli.

Menurutnya, tidak ramai anak muda mahu menyanyikan lagu-lagu irama Melayu asli dan disebabkan itu, dia mengambil peluang untuk mempromosikan lagu-lagu sebegini supaya tidak ditelan zaman.

“Irama Melayu asli menjadi pilihan saya kerana ia mempunyai keunikan tersendiri yang tidak ada pada lagu lain. Saya memilih irama ini kerana rentak muziknya yang berkualiti dan mesej yang disampaikan sangat berguna kerana mengandungi nasihat yang mampu membawa kebaikan,” katanya kepada S2.

Anak keempat daripada tujuh beradik ini memberitahu, irama Melayu asli sudah sebati dalam jiwanya kerana telah didedahkan dengan irama tersebut sejak usia kanak-kanak lagi.

“Saya mula terlibat dalam bidang seni suara seawal usia empat tahun ketika memasuki pertandingan terbuka Panasonic dan menjadi juara pertandingan itu. Pengalaman pertama ini mendorong saya untuk berkecimpung dalam bidang nyanyian,” ujarnya.

Apabila memasuki zaman persekolahan, dia aktif menyertai pelbagai pertandingan dan acara seni seperti sajak, syair, pantun dan nasyid.

Dalam pada itu, katanya, pencapaian tertinggi yang pernah dicapainya setakat hari ini adalah mewakili Selangor dalam pertandingan kombo peringkat kebangsaan yang berlangsung di Kelantan, empat tahun lalu.

Mengikuti pengajian ijazah Pengajian Melayu (Sosio-Budaya Melayu) di Universiti Malaya, Nur Annisa turut aktif membuat persembahan di kampus, selain dinobatkan sebagai penerima anugerah Seniwati Universiti Malaya 2018.

“Impian saya kini adalah memartabatkan seni warisan lagu Melayu asli. Saya juga berharap dapat melebarkan sayap sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN