KUALA LUMPUR 1 Ogos – Artis ternama dan usahawan berjaya, Neelofa menyelar perbuatan segelintir pihak yang menggunakan media sosial untuk membongkar tindakan segelintir artis tempatan yang mengenakan barangan berjenama tiruan.
Menyifatkan tindakan sedemikian sebagai cara membuka aib dan menjatuhkan maruah golongan artis, Neelofa menegaskan, ada banyak cara lain untuk mendidik artis dan orang ramai agar mengelak daripada membeli barangan palsu.
“Bagi saya, itu cara yang paling kasar untuk memalukan seseorang. Cuma kita kena lihat daripada sudut positif supaya masyarakat tidak menggunakan alasan bergaya untuk memakai barangan palsu.
“Masa zaman saya tidak ada duit pun saya tak beli barangan palsu. Sebaliknya saya jadikan motivasi kepada diri untuk lebih berusaha membeli barangan berjenama,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di sini hari ini.
Baru-baru ini terdapat laporan mengenai sebuah akaun laman sosial Instagram mendedahkan beberapa selebriti menggayakan barangan jenama tiruan ketika menghadiri majlis dan menerusi foto yang dimuat naik di laman sosial mereka.
Pemerhatian dilakukan pemilik akaun @streetwearbustamy berpandukan beberapa kriteria yang terdapat pada barangan jenama original dan yang digayakan beberapa selebriti tempatan.
Dalam masa sama, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Nor berkata, beliau secara peribadi tidak menyokong mana-mana individu tidak kira selebriti atau tidak membeli dan memakai barangan berjenama palsu.
Neelofa berkata, sudah tiba masanya untuk masyarakat mengubah pemikiran dan tidak memakai barangan berjenama palsu semata-mata untuk kelihatan bergaya.
“Sebagai usahawan, saya sendiri mempunyai masalah untuk membanteras barangan cetak rompak. Sebab itu saya tak sokong, salah tetap salah,” tegas pengacara program hiburan popular Meletop ini lagi.
Dalam pada itu, Neelofa yang bakal terbang ke Paris bagi menghadiri Minggu Fesyen New York berkata, beliau juga sedang membuat pertimbangan untuk menerima tawaran berlakon dari Indonesia.
“Memang ada tawaran untuk berlakon dalam satu projek khas dengan produksi Indonesia tetapi itu cuma satu perancangan. Saya kena tengok jadual dahulu,” katanya lagi.










