GEMPA bumi kuat yang berukuran 7 skala Richter yang melanda Kepulauan Lombok baru-baru ini mengajak masyarakat untuk mengiktiraf kebesaran dan keagungan Tuhan yang berkuasa menjadikan segala sesuatu tanpa disangka-sangka. Ia juga sepatutnya menyedarkan seluruh manusia betapa mereka tidak mampu menolak segala ketentuan Ilahi. Malah apabila diteliti, manusia adalah sekelumit daripada sekalian banyak makhluk ciptaan Allah di alam buana ini yang wajib beriman dengan sebenar-benarnya kepada Allah Tuhan Sekalian Alam.
Dalam sebuah riwayat baginda Nabi Muhammad SAW bersabda kepada golongan Muhajirin dengan menyebutkan lima perkara di mana kamu akan diuji dengannya dan aku berharap supaya ia tidak berlaku. Tidak berleluasa perkara mungkar dan mereka menunjuk-nunjukkannya kecuali akan diturunkan penyakit taun dan kelaparan yang belum pernah dirasai oleh orang sebelumnya. Tidak mengurangkan timbangan dan sukatan kecuali ditimpa dengan kemarau, kenaikan kos sara hidup dan kezaliman pemerintah. Enggan membayar zakat sehingga ditahan hujan, kalaulah tidak kerana binatang nescaya langsung tidak diturunkan hujan. Tidak melanggar perjanjian dengan Allah dan Rasulnya sehingga negara dijajah dan segala kekayaannya dirampas oleh musuh. Tidak melaksanakan hukum Allah dan memilih yang disukai sehingga ditimpakan huru-hara dan perselisihan sesama mereka. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Malah apabila diteliti musibah yang melanda umat pada masa kini tidak terhad kepada bencana dan sesuatu yang bersifat fizikal sahaja. Lebih membimbangkan apabila musibah keruntuhan akhlak dan moral masyarakat semakin kronik dan sukar dibendung. Dalam sebuah kajian tidak rasmi dinyatakan bilangan ibu yang mengandung tanpa pernikahan yang sah pada 2014-2016 sahaja sudah berjumlah 5,410 orang. Ini belum dikira statistik pembuangan bayi yang tidak berdosa, bersekedudukan dalam kalangan remaja dan muda-mudi, gejala pornografi dan keruntuhan institusi keluarga dan rumah tangga.
Boleh jadi juga penyebaran berbagai-bagai penyakit berjangkit di seluruh dunia masa kini termasuk tanda kemurkaan Allah terhadap perlakuan jijik segolongan manusia. Penyakit AIDS yang disebabkan oleh hubungan kelamin bersama pasangan yang dijangkiti dan sangat digeruni suatu ketika dahulu kini seolah-olah dianggap biasa walaupun penawarnya belum pernah ditemukan.
Pelbagai jenis selesema burung, selesema babi dan selesema unta juga terus merebak sehingga turut berjangkit kepada manusia. Terkini, penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) juga cukup merunsingkan apabila laporan akhbar menyebutkan sejumlah 37,986 kes sudah direkodkan sejak Julai lalu.
Lebih daripada itu yang lebih ditakuti adalah gempa bumi dan huru-hara akhir zaman yang bukan semua manusia boleh terselamat daripadanya. Hanya golongan yang beriman dan beramal bakal mendapat perlindungan Tuhan. Dalam sebuah riwayat yang panjang oleh al-Bukhari dan dinyatakan secara ringkas menyebutkan, tidak akan berlaku Hari Kiamat kecuali setelah diangkat ilmu, berlaku banyak gempa bumi, masa berlalu pantas, berleluasa fitnah dan banyak berlaku pembunuhan.
Berkemungkinan banyak kejadian bencana alam dan penyebaran penyakit berjangkit pada masa kini termasuk peringatan kepada manusia agar bersegera untuk beriman dan beramal soleh. Usah menunda waktu untuk beramal sehingga detik akhir menjelang ajal tiba ataupun saat matahari terbit di Barat kerana pada ketika itu segala amalan dan taubat tidak lagi diterima. Boleh jadi golongan seperti ini termasuk yang menyesal dan meminta supaya dikembalikan ke dunia untuk melakukan amalan soleh. Namun bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.
Seyogianya masa yang ada dan terhad ini dimanfaatkan untuk melakukan apa sahaja aktiviti ibadah yang difardukan mahupun yang disunahkan. Usah terkesima dengan kesibukan dunia yang sementara sehingga lalai melaksanakan ibadah yang merupakan tujuan manusia diciptakan. Usah juga terlibat memperbanyak kegiatan dosa dan maksiat kerana pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.
Selain itu, umat Islam diajak untuk terus berdoa dan memohon perlindungan-Nya agar dipelihara daripada sebarang musibah dan fitnah kehidupan di dunia. Ini kerana Allah SWT sahaja tempat kita memohon perlindungan dan keselamatan. Usah juga dilupakan nasib saudara kita di Lombok yang kehilangan harta benda dan kematian orang tersayang dengan menghulurkan apa sahaja bantuan dan pertolongan yang termampu. Atau setidak-tidaknya hulurkan bantuan kewangan melalui agensi yang diiktiraf agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Semoga yang terkorban dalam kalangan mereka ditempatkan di sisi hamba yang soleh lagi diterima segala amalan kebajikan mereka di dunia.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.











