KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi amaran tegas kepada semua persatuan sukan kebangsaan supaya tidak mengarahkan atlet-atlet di bawah Kategori B membiayai perbelanjaan sendiri ke Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, beberapa persatuan dikesan mengeluarkan arahan kepada setiap atlet yang bertanding di bawah Kategori B supaya mencari sumber kewangan sendiri bagi menampung kos perbelajaan sepanjang temasya sukan itu berlangsung.
Katanya, tindakan tidak wajar itu hanya akan menyusahkan atlet selain menyifatkan tanggungjawab mencari dana perbelanjaan itu sepatutnya dipikul sepenuhnya oleh persatuan.
“Kita (MOM) mendapat tahu bahawa ada persatuan sukan yang bertanding di bawah Kategori B yang telah menyusahkan atlet-atlet dengan menyuruh mereka (atlet) mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai perbelanjaan ke Sukan Asia 2018.
“Kita (MOM) berharap bahawa persatuan-persatuan yang telah memberi komitmen untuk menghantar atlet mereka di bawah Kategori B harus tidak membebankan atlet.
“Mereka (persatuan) mesti mencari sumber kewangan sendiri dalam menentukan mereka mampu menghantar atlet-atlet serta pegawai-pegawai ke Jakarta dan Palembang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini, hari ini. – Bernama











