Mohd. Afandi selamat tiba di tanah air - Utusan Malaysia

Mohd. Afandi selamat tiba di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Wakil tunggal sukarelawan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh yang ditahan tentera Israel sewaktu menyertai misi flotila Al-Awda, telah selamat tiba di tanah air, malam ini.

MOHD. AFANDI SALLEH
MOHD. AFANDI SALLEH

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh ahli keluarga dan anggota Huma­nitarian Ca­re Malaysia (MyCare).

Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Sha­harul Anwar ha­ri ini berkata, dua lagi ahli misi flotila al-Awda yang membawa bekalan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin di perairan Gaza, telah dibebaskan.

Katanya, ahli mi­si tersebut adalah wartawan Al-Jazeera, Merouane Metidji dan Abdelmounim El Amrani.

Terdahulu, isteri dan anak-anak kepada Dr. Mohd. Afandi, Kamarul Zaman bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon serta beberapa ahli Parlimen hadir pada sidang akhbar yang diadakan di Parlimen.

Semalam, dua orang daripada 22 anak kapal Al-Awda iaitu ketua kapal, Zohar Chamberlain Regev dan bekas kapten tentera udara Israel, Yonathan Shapira telah dibebaskan.

Dr. Mohd. Afandi mengikuti misi solidariti flotila Right to A Just Future for Palestine bermula pada 15 Julai lalu.

Flotila Al-Awda yang belayar menggunakan bende­ra Norway membawa 22 akti­vis dari 16 negara termasuk penyokong hak asasi manusia, wartawan dan kru turut membawa kargo ubat-ubatan bernilai Euro 13,000 (RM61,554) bagi diserahkan kepada penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.

Hari ini, Ahli Parlimen Malaysia menuntut pembebasan serta-merta 22 ahli misi flotilla Al-Awda termasuk Dr. Mohd. Afandi yang ditawan oleh tentera laut Israel semasa berlayar ke Gaza.

Timbalan Yang Di­­pertua Dewan Rak­yat, Datuk Ra­shid Hasnon berkata, pihaknya turut menuntut Israel untuk menjamin ke­selamatan kesemua ahli misi solidariti flotila itu sehingga tiba di negara masing-masing.

“Ahli Parlimen Malaysia me­nge­cam sekeras-kerasnya tindakan Israel me-
rampas kapal Al-Awda milik Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan menculik 22 akti­vis dari perairan antarabangsa pada Ahad lalu.

“Tindakan Israel menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa bertentangan de­ngan norma-norma kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila bantuan dibawa sa­ngat diperlukan oleh penduduk Gaza yang telah menderita selama 12 tahun di bawah sekatan Israel,” katanya.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, tindakan Israel meng­halang Al-Awda daripada belayar masuk ke Gaza dan menyekat semua akses luar ke atas Gaza bertenta­ngan dengan Konvensyen Geneva Keempat yang menegah hukuman kolek­tif ke atas mana-mana komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN