PUTRAJAYA 9 Ogos – Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang terlibat dalam satu festival di Pulau Pinang sejak Sabtu lalu perlu menghormati pendirian golongan majoriti yang tidak mahu sebarang budaya songsang dipromosi di dalam negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata, tindakan mereka yang secara terang-terangan mempromosikan budaya songsang tersebut telah menyebabkan ibu bapa dan masyarakat bimbang serta marah.
“Bila golongan LGBT bercakap mengenai hak mereka kita menghormatinya tetapi di dalam masyarakat yang terdapat kelompok lain mereka juga mempunyai hak.
“Sebagai golongan minoriti, LGBT perlu mengiktiraf hak majoriti yang tidak mahu sebarang bentuk promosi sebegini dilakukan dan pada masa sama ada ibu bapa yang risau jika anak-anak mereka terpengaruh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cakna Isu-isu Semasa:
Wacana Kontemporari Wanita dan Hak Asasi di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa mengaku telah mengarahkan potret aktivis LGBT yang dipamerkan di festival pameran fotografi ‘Stripes and Strokes’ di Pulau Pinang diturunkan.
Bagaimanapun, kenyataan beliau mendapat reaksi berbeza daripada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng yang menegaskan tiada keperluan bagi kerajaan negeri untuk mengarahkan supaya potret ikon LGBT itu diturunkan atas faktor hak asasi manusia.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, tindakan pihaknya yang meminta poster tersebut diturunkan bukan satu bentuk diskriminasi terhadap golongan tersebut tetapi bagi menghormati golongan majoriti.-UTUSAN ONLINE










