KUALA LUMPUR 2 Ogos – Mekanisme dan hala tuju projek mega Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dijangka akan dimuktamad dan diputuskan selewat-lewatnya awal September ini, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.
Beliau berkata kementeriannya akan melantik jurutera perunding bebas bagi menilai semula pelaksanaan projek melibatkan pakej-pakej kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor projek berkenaan berdasarkan amalan kejuruteraan terbaik.
“Pada 24 Julai lalu kementerian telah diarahkan Kementerian Kewangan untuk meneliti dan menilai semula kos dan skop projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak.
Kementerian telah mengemukakan cadangan melantik jurutera perunding bebas untuk melaksanakan penilaian tersebut,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) yang bertanyakan jumlah kos yang terlibat dengan mengupah Borneo Highway PDP Sdn Bhd sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) di Sabah.
Baru berkata anggaran kos keseluruhan projek di Sabah ialah RM12.86 bilion yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja.
Mengulas lanjut, Baru berkata kadar yuran yang akan dibayar oleh kerajaan kepada PDP adalah 5.5 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan.
“Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah adalah melalui Perjanjian PDP yang ditandatangani pada 11 April 2016 antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan PDP.
“Perjanjian tersebut juga telah menetapkan satu elemen penalti ke atas yuran PDP jika PDP gagal mematuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu projek disiapkan mengikut kos, masa dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, setakat ini sebanyak 12 daripada 35 pakej kerja projek Pan Borneo Sabah telah dilaksana manakala baki 23 pakej kerja lagi belum dimulakan kerana sama ada masih di peringkat perolehan, makmal pengurusan nilai atau perancangan reka bentuk.
Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Chan yang mempersoalkan Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Highway PDP Sdn Bhd, Shahelmy Yahya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, Baru berkata “ia telah dilantik dan kementerian tidak boleh berbuat apa-apa kecuali ada laporan membantah berdasarkan undang-undang.”-UTUSAN ONLINE










