ST. LOUIS – Pemegang empat gelaran utama, Rory McIlroy mengambil langkah berjaga-jaga mengenai potensi kecederaan apabila tampil pada pusingan pertama Kejohanan PGA Amerika Syarikat kelmarin dengan memakai pelekat anti keradangan pada lengan kanannya.
McIlroy yang bermain dalam kumpulan sama dengan bintang golf dunia, Tiger Woods serta juara bertahan, Justin Thomas kelihatan bergelut sepanjang permainan untuk merekodkan catatan 70 pukulan.
Pemain berusia 29 tahun itu melakukan aksi hambar dengan melakukan dua birdie dan dua bogey, sekali gus berada enam pukulan di belakang pendahulu pusingan pertama, Gary Woodland dari Amerika Syarikat.
Pemain dari Ireland Utara itu mengakui membuat keputusan untuk mula memakai pelekat anti keradangan setelah berasa ketegangan otot pada bahagian tangan kanannya ketika menyertai Kejohanan WGC minggu lalu.
“Saya memulakan permainan pada waktu pagi, jadi keadaan cuaca dan sekeliling sangat nyaman dan membantu. Esok (hari ini) saya akan bermain pada sebelah petang, saya jangkakan cabaran lebih besar.
“Lengan saya terasa sangat sakit apabila melakukan chipping kerana saya perlu pukul pada sudut tertentu. Keseluruhan lengan kanan saya menjadi sangat tegang.
“Saya banyak melakukan pukulan pada minggu lepas kerana hendak memperbaiki pukulan. Jadi, ia agak bengkak dan tegang, namun ia tidak memberikan sebarang masalah besar,” katanya. – Agensi











