KUALA LUMPUR 2 Ogos – Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran agar segera menyelesaikan isu bantuan pinjaman latihan kemahiran di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusup berkata, PTPK secara jelas sebagai satu platform dan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan belia dalam bantuan dana pinjaman.
“Akses dan peluang latihan perlu dibuka seluasnya kepada semua, jadi bantuan pendanaan perlu secukupnya dalam membekalkan tenaga mahir untuk keperluan industri.
“Oleh itu, MBM merayu dan memohon kepada Kementerian Sumber Manusia agar peruntukan yang besar atau secukupnya dapat disalurkan kepada PTPK supaya ia dapat memainkan peranan aktif untuk membiayai pinjaman dan bantuan kewangan khususnya kepada belia lepasan sekolah,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock serta lapan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya, Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera dan Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah JPK Swasta Malaysia (FEMAC).
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera, Nordin Abdul Malek berkata, meskipun Kula Segaran telah memberi respon akan menyelesaikam isu pendanaan itu dengan segera, namun pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak boleh di kompromi.
“Antara isu kritikal yang harus dipandang serius ialah apabila saiz dana PTPK yang semakin mengecil iaitu sebanyak RM125 juta pada tahun ini.
“Sepatutnya dana berjumlah RM500 juta setahun.
“Sehingga hari ini, isu kuota pinjaman sesi ketiga 2018 PTPK untuk pelatih sesi Jun 2018 masih belum selesai sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










